الاسلام يعلو ولا يعلى عليه

“Andai diumpamakan ISLAM seperti bangunan yang hampir roboh, maka aku akan berjalan keseluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip ramainya bilangan mereka, tapi aku inginkan hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina bangunan usang itu menjadi bangunan yang tersergam indah."(As-Syahid Hassan Al-Banna)

SELAMAT DATANG KE LAMAN MASJID KALAI.. MASJID KITA...TERIMA KASIH ATAS SUMBANGAN IDEA.. TENAGA.. MATERIAL.. YG TELAH ANDA SUMBANGKAN. 0139466288(Pengerusi Masjid) >> nazriyusuf@ymail.com..

Isnin, 2 Mei 2011

OSAMA BIN LADEN

Osama Bin Laden
Mengapa Amerika Sangat Membencinya?

Osama berubah dari seorang yang pernah bekerjasama dengan AS kini menjadi musuh yang paling dikehendaki di AS
Oleh
Ahmad Yani Abd Manaf

Selepas berlakunya serangan berani mati yang menggunakan pesawat kemersial di dua menara World Trade Centre (WTC) dan bangunan Pentagon di Washington hari selasa 11 September 2001 lalu, nama Osama bin Laden dan kumpulannya ”Tanzim Al-Qaedah” tiba tiba menjadi perhatian media cetak dan elektronik seluruh dunia. Senario ini hampir sama dengan kes pengeboman terhadap kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Nairobi (Kenya) dan Darussalam (Tanzania) tahun 1998, serta serangan terhadap kapal perang USS Cole di Aden (Yaman) tahun lalu, apabila nama Osama bin Laden dijadikan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ganas tersebut. Tidak hairanlah sekiranya ia menjadi orang yang paling dikehendaki oleh pihak AS, yang sebelum menjadi musuh Soviet Union semasa perang Afghaniastan tahun 1980an.

Sehingga kini Osama masih belum ditemui meskipun Iraq dan Afghanistan telah ditawan AS atas alasan memerangi keganasan.

Osama masih berkali kali menegaskan bahawa dirinya tidak terlibat dengan serangan ke atas WTC dan Pentagon, walaupun menyokong sebarang tindakan menyerang kepentingan AS dimana pun.

Siapa Osama bin Laden

Siapa sebenarnya Osama bin Laden yang kini kembali menarik perhatian dunia? Osama bin Laden berasal daripada sebuah keluarga usahawan kaya yang memiliki pelbagai syarikat pembinaan di Arab Saudi. Syarika pembinaan ini didirikan oleh ayah Osama, Muhammad bin Awwad bin Laden berbangsga Arab keturunan Yaman. Syarikat milik ayah Osama ini adalah syarikat pembinaan terkemuka yang telah berjaya membangunkan pelbagai projek infrastruktur, khususnya projek pembangunan jalan raya dan projek pembesaran Masjid Al-Haram di Makkah.

Muhammad bin Laden meninggal dunia dalam satu kemalangan pesawat semasa mengunjungi salah satu projek kepunyaannya di selatan Bandar Taif, Arab Saudi. Ia meninggalkan 64 putera dan puteri. Anak sulungnya bernama Salim bin Laden yang juga meninggal dunia dalam kecelakaan pesawat di Amerika Syarikat.

Osama bin Laden adalah anak bongsu Muhammad bin Laden daripada salah seorang isterinya, Arab keturunan Syria. Osama lahir dibandar Riyadh tahun 1957 dan menghabiskan usia kanak kanaknya di Madinah, sebelum berpindah ke Jeddah. Osama menamatkan pembelajaran di dalam bidang ekonomi dan pengurusan di Universiti King Abdul Aziz, Jeddah.

Sejak usia remaja, Osama cenderung aktif menyertai organisasi organisasi yang berorientasikan perjuangan Islam. Pada tahun 1973, ketika berusia 16 tahun, buat pertama kali dia berkenalan dengan sebuah organisasi yang agak radikal. Namun kecenderungan Osama bin Laden dalam gerakan radikal baru diakui selepas ia memasuki Afghanistan dan bergabung dengan para Mujahidin menentang pencerobohan Soviet Union pada awal tahun 1980.

Tetapi beberapa lama selepas memasuki Afghanistan, Osama kemudiannya memilih untuk menetap di Peshawar, bandar yang terletak di perbatasan Pakistan dengan Afghanistan. Di Peshawar ia bekerja dengan gurunya, Dr.Abdullah Azzam, disebuah organisasi yang menguruskan sukarelawan Mujahidin menentang pencerobohan Soviat Union dan mendirikan kem latihan tentera para sukarelawan Arab yang dikenali dengan nama ”Kamp Al-Ansar”.

Osama bin Laden melatih ribuan sukarelawan Arab di kem Al-Ansar yang berasal dari Mesir, Arab Saudi, Algeria, Lebanon, Kuwait, Tunisia, Sudan dan Palestin. Sukarelawan tersebut kemudian dikenali dengan nama ”Afghan Al- Arab”.

Perbelanjaan latihan di kem Al Ansar itu sebahagian besar dibantu oleh usahawan negara negara Arab yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Afghanistan. Jasa terbesar Osama bin Laden dan pengikutnya dicatatkan dalam pertempuran membebaskan bandar Jalabad daripada cengkaman pasukan Soviet Union.

Osama dengan bekerjasama dengan seorang jurutera berasal dari Iraq, Mohammad Saad, berjaya membina sebuah ruangan pertahanan bawah tanah di sebuah kawasan perbukitan antara bandar Kabul dan Jalalabad. Ruangan tersebut selain dijadikan hospital merawat tentera Mujahidin yang cedera dalam pertempuran, ia juga dijadikan stor menyimpan senjata. Kejayaan membina ruangan bawah tanah tersebut menyebabkan pejuang Mujahidin mampu melakukan peperangan yang panjang melawan pencerobohan Soviet Union.
 
Bekerjasama dengan CIA


Walaupun terdapat sumber sumber yang menyebut bahawa Osama pernah menjalin kerjasama dengan CIA semasa pencerobohan Soviet Union di Afghanistan pada tahun 1980-an, tetapi belum dapat dipastikan dalam bentuk apa kerjasama tersebut. Osama sehingga saat ini masih menafikan adanya peranan CIA dalam melatih dan membekalkan senjata kepada pejuan Mujahidin yang dipimpinnya. Dari segi kewangan, Osama sememangnya tidak menghadapi masalah ketika itu kerana ia mempunyai simpanan kewangan sendiri, selain mendapat bantuan daripada beberapa jutawan Arab yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Afghanistan. Hal ini mungkin berbeza dengan kumpulan pejuang Mujahidin yang lainnya, terutama kumpulan yang dipimpin Kalbuddin Hekmatyar yang dikenali mempunyai hubungan baik dengan CIA.

Namun diandaikan Osama mempunyai hubungan secara tidak langsung seperti menyusun perancangan bersama sebelum sesuatu serangan terhadap kedudukan Soviet Union dilakukan. Maksudnya, hubungan Osama dengan CIA diandaikan sekadar bertukar maklumat sebelum sesuatu serangan dilakukan.

Selepas Soviet Union terpaksa berundur dari bumi Afghanistan dan kumpulan Mujahidin terbabit perang saudara, Osama bersama para pengikutnya dari kumpulan Afghan Al Arab berhijrah ke Sudan dan Yaman. Ia kemudiannya kembali menumpukan perhatian membantu perniagaan keluarga. Ia berjaya mendapat projek pembangunan jalan raya di bandar Taif dan Abha, Arab Saudi.

Di Sudan Osama berpeluang membeli tanah pertanian yang cukup luas berhampiran Bandaraya Khartoum dan membangunkan apartmen di kawasan tersebut. Ia juga mendirikan syarikat pembinaan Al Aqiq yang berjaya mendapat penghargaan dari Presiden Sudan Omar Hassan Al Bashir dalam suatu acara rasmi di Bandaraya Khartoum, kerana berjaya melaksanakan projek pembinaan jalan raya di Sudan.

Namun selain AS dan sekutunya yang sentiasa mencurigai Osama, beberapa pemimpin Negara Arab seperti Mesir, Algeria dan Tunisia juga mempersoalkan peranan Osama yangh didakwa membantu gerakan Islam yang radikal yang mahu menjatuhkan kepimpinan beberapa negara berkenaan. Akhirnya pelbagai pihak memberi tekanan terhadap kerajaan Sudan dan Arab Saudi. Sudan diminta mengusir Osama, manakala Arab Saudi digesa menghentikan pemberian kontrak kepada syarikat yang ada kaitan dengan Osama.

Sudan pun akhirnya tunduk dengan tekanan pelbagai pihak sehingga terpaksa mengusir Osama dari negara tersebut. Kerajaan Arab Saudi mengikuti jejak Sudan dengan melucutkan kewarganegaraan Osama. Keluarganya di Arab Saudi juga terpaksa mengambil langkah langkah perlu. Abang kandungnya, Bakar bin Laden mengadakan sidang media di Arab Saudi dan mengistiharkan bahawa Osama bin Laden tidak ada kaitan lagi dengan dirinya dan syarikat milik keluarganya. Dinyatakan juga bahawa Osama tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat keluarga.

Tersepit dengan tindakan kerajaan Sudan dan Arab Saudi, Osama terpaksa kembali semula ke Afghanistan, meminta perlindungan kumpulan Taliban yang telah menguasai sebahagain besar Wilayah di Afghanistan ketika itu. Semasa dibawah dibawah perlindungan kerajaan Taliban, Osama dan para pengikutnya kembali menjadi sorotan media antarabangsa apabila tuduhan mempunyai kaitan dengan serangan terhadap kepentingan AS di luar negara selama tiga tahun terakhir ini.

Tidak ada orang yang mengetahui secara pasti di mana kediaman tetap Osama di Afghanistan. Ada yang mengagak ia tinggal disuatu tempat tersembunyi berhampiran bandar Kandahar. Ada juga yang menyebut, dia berada di sekitar kawasan Jalalabad. Ada juga yang mengatakan ia tinggal di kawasan perbukitan bandar Kabul.

Bagaimana Osama boleh berubah dari seorang yang pernah bekerjasama dengan AS kini menjadi musuh yang paling di kehendaki AS? Osama terkenal sebagai seorang yang anti pencerobohan atau hegemoni kekuatan asing yang ingin kemaksakan kehendak mereka terhadap negara negara lemah. Sebab itu ia sanggup bekerjasama dengan AS menentang pencerobohan Soviet Union di Afghanistan. Osama juga menentang pencerobohan Iraq terhadap Kuwait tahun 1990, dan turut membantu AS mengusir Iraq dari bumi Kuwait. Malah Osama turut menolak pencerobohan As terhadap Somalia tahun 1992 dan hagemoni AS di Timur Tengah saat ini, terutama kehadiran pasukan tentera AS di kawasan Telok sejak kkrisis Telok tahun 1990. lagi